AMPANG: Tular di media sosial rakaman dua kumpulan lelaki bergaduh di sebuah restoran di Pandan Indah di sini.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam pada Selasa itu telah tular di media sosial Facebook menerusi satu video berdurasi 30 saat.

Difahamkan, punca pergaduhan kumpulan lelaki itu dipercayai akibat saling menyindir di media sosial mengenai rancangan menggabungkan dua kelab motosikal.

Kumpulan itu dikatakan tidak puas hati lalu mengadakan pertemuan di restoran itu sebelum berlakunya pergaduhan.

Video itu memaparkan aksi membaling dan memukul menggunakan kerusi antara satu sama lain.
Difahamkan setakat ini, polis telah menahan beberapa individu yang disyaki terbabit pergaduhan itu.

Beberapa individu yang terlibat juga sedang giat dikesan bagi membantu siasatan.

Sinar Harian dimaklumkan, satu kenyataan media akan dikeluarkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengenai kes terbabit. -- Sinar Harian